Thursday, September 3

dari cikgu ana.....


Salam
Saudara/saudari yang dimuliakan Allah


Ramadhan:
Mencari Bekal Di Perjalanan (Us Rushdan)


Hakikat kehidupan ini adalah sebuah perjalanan menuju Allah yang menghidupkan
dan yang mematikan sesuatu, yang menjadikan muka bumi dan alam semesta ini
sebagai tempat ujian untuk makhluk bernama jin dan manusia. Perjalanan itu pula
pada hakikatnya adalah perjalanan hati yang sentiasa dipengaruhi oleh dua
perunding utama dalam diri manusia iaitu akal dan nafsu.

Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja melalui perjalanan ini tanpa
sebarang pedoman. Sifat rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya
menyebabkan bersama kejadian manusia itu diturunkan bersamanya al-Kitab
(al-Quran) dan diutuskan para Rasul a.s. bagi membimbing serta menunjukkan
jalan yang betul menujuNya.

Firman Allah: "Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di
bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah
benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Dialah yang menghidupkan dan
yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan
(ujian). Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran
yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi
apa yang ada di dalam dada kamu (hati kamu), dan juga menjadi hidayah petunjuk
untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Katakanlah (wahai Muhammad), “Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan
limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran
itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia
lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara
yang tidak kekal)”. (Yunus: 55-58)


Kelebihan... Disertai Kemuliaan

Allah s.w.t. menjadikan makhlukNya tidak sama antara satu sama lain. Allah melebihkan
sesuatu dan mengurangkan sesuatu yang lain. Itulah keindahan ciptaanNya. Antara
hikmatnya ialah supaya makhluk ini saling bergantung serta memerlukan antara
satu sama lain dan kesemuanya itu berhajat dan bergantung kepada Yang Maha
Pencipta. Allah melebihkan dan memuliakan manusia daripada makhlukNya yang
lain, begitu juga Allah telah memuliakan Nabi Muhammad s.a.w. melebihi
Nabi-nabi yang lain, Allah juga melebihkan hari Juamaat daripada hari-hari yang
lain. Dan begitulah Allah telah memuliakan Bulan Ramadhan mengatasi kemuliaan
bulan-bulan yang lain.

Setiap yang Allah lebihkan dan muliakan itu memang pada hakikatnya ada
kelebihan dan ada kemuliaannya, sama ada pada zat kejadiannya atau pada sebab
ia dijadikan. Contohnya manusia, selain daripada kejadiannya yang unik yang
menghimpunkan antara sifat haiwan (sifat yang ada pada binatang yang memerlukan
makan, minum, seks dan sebagainya serta fizikal daripada jenis mamalia seperti
sebahagian haiwan lain) dan sifat Malaikat yang boleh tunduk dan patuh serta
mendekatkan diri kepada Allah (seperti sifat patuh para malaikat), manusia juga
dimuliakan kerana sebab ia dijadikan iaitu untuk menjadi Khalifah bagi
memakmurkan muka bumi ini dengan apa yang diredhai Penciptanya.


Ramadhan... Kelebihannya pada al-Quran

Begitu juga Bulan Ramadhan. Allah memuliakannya kerana padanyalah diturunkan
al-Quran. Sebagai petunjuk yang telah memberi panduan kepada manusia bagaimana
untuk hidup dengan cara yang betul, atau dengan kata lain bagaimana untuk
memakmurkan muka bumi ini dengan cara yang betul. Iaitu bagaimana untuk
melaksanakan tugas Khalifah di muka bumi ini yang dengan sebabnya manusia
dimuliakan dan dilebihkan daripada makhluk yang lain.

"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu,
sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu." (al-Baqarah:
185)

Malah pada malam pertama diturunkan al-Quran daripada Luh Mahfuz diberi
fadhilat lebih daripada seribu bulan, dan diulangi setiap tahun sehingga hari
Qiamat iaitu malam Lailatul Qadar:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran
Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu
bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana
membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Ini semua menunjukkan betapa besarnya erti al-Quran kepada kehidupan ini. Oleh
itu bagi seorang Mukmin yang memahami tujuan dan erti hidup ini, tiada tulisan
yang paling suka untuk ditatapinya berbanding al-Quran, tiada kalimah yang
sentiasa menarik hati dan mindanya untuk memahaminya melainkan kalima-kalimah
al-Quran dan tiada alunan yang paling suka untuk didengarinya saban hari malah
setiap ketika (yang sesuai) melainkan alunan daripada bacaan al-Quran. Sehingga
terpancar daripada hati kepada lidahnya sebuah doa yang diulang-ulang kepada
Tuhannya:

اللهم اجعل القرآن ربيع قلوبنا ونور
ابصارنا وجلا ءهمناوطريقنا الذى نمشى عليه

Itulah hakikat mukmin dengan al-Quran dan itulah keadaan dirinya di bulan
Ramadhan.


Ramadhan Perhentian Untuk Mencari Bekalan

Allah telah menyusun kehidupan ini sedemikian rupa yang mana hari silih
berganti bulan berlalu menjangkau tahun dan Allah telah juga telah mengolah
agama yang diredhaiNya untuk manusia yang sesuai dengan peredaran masa supaya
manusia tidak lupa bahawa dunia ini ada Pencipta dan Penentu perjalanannya dan
pada akhirnya semua manusia akan dikembalikan kepadaNya. Bagi mereka yang lupa
dan lalai akan menerima balasan sewajarnya, sebaliknya bagi mereka yang peka
dan sentiasa mencari bekal yang disediakan akan mendapat habuan yang
dijanjikan.

Allah menentukan pada setiap hari itu waqafat perhentian supaya mukmin
mentajdidkan hubungannya dengan Penciptanya melalui solatnya yang telah
ditentukan waktunya. Begitu juga pada setiap minggu ada waqfah untuk mukmin
berhubung serta menginsafi hal ehwal masyarakatnya melalui solat Jumaat. Dan
seterusnyalah Allah menjadikan sebulan suntuk Bulan Ramadhan pada setiap tahun
sebagai suatu Waqfah besar kepada hambaNya mukmin untuk dia mencari sebanyak
mungkin bekalan untuk perjalanan seterusnya.

Bekalan... persediaan latihan melawan nafsu mengekang kemahuan perut daripda
makan dan minum serta mengekang kemahuan faraj daripada seks yang biasanya
dihalalkan di siang hari untuk menguatkan hatinya bahawa Syariat Tuhan mesti
didahulukan mengatasi kemahuan syahwat. Bekalan... menguatkan hubungan dengan
Penciptanya dengan Qiam di malam dan dini hari, berdoa dan bertaubat kepada
Yang Maha Pengampun lagi Mengasihani. Bekalan... menajamkan minda dan mata
hatinya dengan tilawah dan tadarrus al-Quran sebagai perisai di perjalanan dan
untuk pertarungan yang akan datang. Bekalan... menginsafi bahawa perjalanannya
yang sebenarnya adalah menuju Akhirat dan di sanalah kehidupan hakikinya dengan
memutuskan buat seketika kesibukan dunia fatamorgana ini dengan beriktikaf
sepuluh hari terakhir Ramadahan. Bekalan... membentuk akhlak jiwa pemurah dan
sifat rahmatnya kepada makhluk Allah serta melawan sifat ananiyyah dan
bakhilnya dengan bersedekah dan zakat.

Inilah satu WAQFAH BESAR untuk mencari bekalan yang Allah sediakan bagi mereka
bagi yang mengerti tentang hakikat kehidupan ini dan ke mana penghabisannya.

Dan itulah hakikat dan keadaan seorang Mukmin di bulan Ramadhan yang tentunya
berbeza dari yang lainnya dan daripada masa-masa yang lain.

“Dan carilah bekalan oleh kamu, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu
adalah Taqwa...”

Dipanjangkan oleh
Cg Jamil (SESTER)

No comments:

Post a Comment