Daisypath -

Monday, January 31

Si Gadis Bercerita Tentang Cinta | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Seorang gadis tinggal di sebuah pekan kecil. Zaman kehidupannya bukanlah di saat Islam sedang memuncak naik menjadi Daulah Islamiyah. Tetapi dia yakin, Daulah Islamiyah itu kelak pasti akan tercapai. Dia gemar membaca sirah tentang tokoh-tokoh sahabiah yang agung nama mereka; dulu, kini dan selamanya.

Zaman kehidupannya penuh dengan jahiliyyah yang menguasai setiap ruang lingkup atmosfera. Alhamdulillah, katanya. Alhamdulillah katanya, kerana Allah SWT masih mahu menyinari hidup dan dirinya dengan sedikit cahaya Islam. Dengan cahaya itu dia menilai baik dan buruk. Sudah tentu, ianya bukanlah mudah.

Rabiatul Adawiyah sumber inspirasinya. Wanita suci yang mengabdikan diri sehari-hari untuk beribadat kepada Allah. Seorang gadis yang sangat menjadikan Rabiatul Adawiyah sebagai idolanya, kadang-kadang dia tersilap langkah juga. Bukan senang mahu menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, tambahan pula dengan kehidupan dunia kini. Tak mengapalah wahai Si Gadis, menjadi seorang yang perfect seperti Rabiatul Adawiyah, kamu mungkin tak mampu, paling tidak, kamu berusaha bersungguh-sungguh mencontohi beliau. Seorang yang sangat menjaga maruah diri sehinggakan kehidupan dunia bukanlah yang diingini.

Gadis ini suka akan doa Rabiatul Adawiyah yang ini.

"Ya Allah, sekiranya aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun sekiranya aku menyembah-Mu semata-mata demi-Mu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku."

Dia hanyalah seorang gadis biasa. Suatu hari yang penuh berkat, muncul satu kunjungan untuk keluarga Si Gadis. Kunjungan luar biasa yang pastinya membincangkan isu masa depan Si Gadis dan Sang Teruna. Perbincangan yang pastinya menuju kepada sebuah pelayaran bahtera Baitul Muslim. Itu lah agendanya.

Dia terfikir, bagaimana mahu jadi seperti Rabiatul Adawiyah kalau begini keadaannya? Namun, menolak kepada sebuah perkahwinan bukanlah apa yang Si Gadis merasakan suatu yang betul.

Paling tidak, dia mahu menjadi seperti wanita yang menarik kuda Fatimah (anak Rasulullah SAW) untuk memasuki syurga. Wanita itulah yang pertama memasuki syurga! Sungguh hebat pengabdian wanita tersebut kepada keluarganya terutamanya kepada suami nya. Hebat-hebat kisah sahabiah yang ada! Si Gadis sungguh terinspirasi! Kerana sesungguhnya menjadi tujuan setiap manusia untuk menuju ke syurga-Nya yang abadi.

Kata-kata Zainab Al-Ghazali, "...Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa...". Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak!

Si Gadis pernah terbaca tentang satu hadis.

"Bila telah datang (untuk melamar) kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan perangainya (akhlaknya), maka nikahkanlah dia, bila kalian tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang bermaharajalela." (Riwayat At Tirmizy, Sa'id bin Mansur, At Thabrani, Al Baihaqi dan dihasankan oleh Al Albani)"

Masakan perlu ditolak kerana kejayaan mendirikan sebuah Daulah Islamiyah juga berasaskan dengan tertubuhnya sebuah Baitul Muslim. Baitul Muslim tidak akan berjaya tanpa adanya 2 individu yang benar-benar ingin menerapkan Islam ke dalam diri mereka, sekaligus berusaha untuk mengembangbiakkan Islam dalam masyarakat. Menolak lamaran daripada insyaAllah, seorang yang soleh bukanlah apa yang Si Gadis mahukan.

Pertemuan 2 buah keluarga sedikit sebanyak telah melegakan Si Gadis. Kerana dia tidak mahu berkawan dengan lelaki yang sebarangan. Berkawan yang tidak tentu hala yang akhirnya tak tahu apa tujuannya.

Namun dia sedar pertemuan ini, kalaulah pun mendapat 'restu' untuk berkawan daripada ibu bapa kedua-dua belah pihak, bukanlah satu tiket untuk mereka berhubung tanpa ada tujuan yang membenarkan.

Perjalanan masih jauh. Pesan seorang pakcik, perlu sangat berhati-hati dan berdoa.

Tiada apa yang Si Gadis sepertinya dapat berharap, hanya agar Allah SWT memudahkan setiap cabang perjalanan hidupnya.

Apa-apa pun, saya suka mendengar Si Gadis bercerita. Katanya, dia bercerita untuk berkongsi agar ada bahagian daripada ceritanya boleh dijadikan teladan.

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, January 18

sajak Aminah Qutb Buat Bakal Suami


Sekiranya
kita cinta pada manusia,
tak semestinya manusia cinta kepada kita,
tetapi sekirannya
kita cinta pada Allah
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya

Sekiranya
kita cinta kepada manusia
kita akan cemburu kepada orang yang
mencintai orang yang kita cintai

Tetapi sekiranya
kita cinta pada Allah
kita akan turut mencintai orang
yang melabuhkan cintanya pada Illahi

Ya Allah
andai dia adalah jodoh
yang ditetapkan oleh-Mu
dan campakkanlah kedalam hatinya
cinta kepadaku adalah keranaMu

Namun
andai dia bukanlah jodoh yang
ditetapkan olehMu kepadaku
berikanlah aku kekuatan agar pasrah
dalam mengharungi ujian
yang kau berikan kepadaku..

Saturday, January 1

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan 5..last ( Syukur Di Atas Nikmat-Nya )

Kegagalan juga dapat mengajar kita erti kesyukuran. Sebahagian ulama mendefinasikan syukur ialah hati yang sentiasa teguh mencintai pemberi nikmat, anggota sentiasa mentaatiNya dan lidah sentiasa bergerak menyebut dan memujiNya. Imam Ibnu Abidin di dalam kitab Dalil al-Falihin mentakrifkan syukur ialah mengiktiraf nikmat serta melaksanakan khidmat. Sesiapa yang banyak melakukannya dia dinamakan orang yang benar-benar bersyukur.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan sedikit sekali dari kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur."
(Surah Saba: Ayat 13).

Kegagalan yang kita hadapi kini adalah secebis sahaja daripada episod kehidupan yang penuh kesenangan, sedangkan nikmat yang diberikanNya sebelum ini terlalu banyak jika hendak dihitung dan dikira. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala bermaksud:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak dapat menghitungnya."
(Surah Ibrahim: Ayat 34).

Syukur merupakan makam (kedudukan / peringkat) yang tertinggi bagi pengamal Tawasuf kerana ia melibatkan hati, lidah dan anggota. Allah Taala juga menyuruh kita banyakkan bersyukur dan menegah kekufuran sepertimana firmanNya bermaksud:

"Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengufuri (nikmat) Aku."
(Surah al-Baqarah: Ayat 152).

Allah Taala menyifatkan sebilangan besar manusia tidak bersyukur sedangkan betapa banyak kelebihan dan nikmat daripadaNya yang telah diberikan. Hanya sekali sekala dugaan datang, ia sesekali tidak akan melenyapkan nikmat dan kesenangan yang telah dikurniakanNya sebelum ini. Begitu jugalah jika dilihat pada dugaan dan ujian yang menimpa orang lain, alangkah bersyukurnya kita kerana dugaan yang kita perolehi tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Tidakkah kita bersyukur lagi?

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikanNya) kepada manusia, tetapi kebanyakkan mereka tidak mensyukuri."
(Surah an-Naml: Ayat 73).

Kesimpulan

Dalam mendepani ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati yang terbuka serta penuh redha. Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar kita dapat mengatasi setiap dugaan kegagalan ini dengan penuh ketakwaan kepadaNya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah."
(Riwayat Tarmizi).

Bergembiralah bagi sesiapa yang diberikan ujian! Bergembiralah juga bagi sesiapa yang sabar dan redha dengan ujian tersebut!

Dugaan kegagalan mengajar kita erti berusaha lebih kuat. Kegagalan mengajar kita erti berdoa setelah kita lalai daripada mengharapkanNya. Kegagalan juga mengajar kita erti kesabaran dan keredhaan dengan segala dugaaNnya. Kegagalan turut mengajar kita erti kesyukuran setelah mendapat nikmat kejayaan. Kegagalan itulah yang mengajar kita erti kembali kepadaNya setelah diri lupa dan leka mengingatiNya.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran)."
(Surah al-Araf: Ayat 168).




Kegagalan mengajar kita erti kehidupan!

Wallahualam.

“Memberi dan Berbakti”


* Ustaz Muhammad Rashidi bin Haji Abdul Wahab merupakan content executive dan salah seorang Panel Agama iLuvislam.com. Berkelulusan Universiti Al-Azhar, beliau menggunakan 'nickname' buluh dalam komuniti iLuvislam. Blog beliau adalah http://buluh.iluvislam.com.

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan 4 ( Redha Dengan Segala Ketentuan-Nya)

Dengan kegagalan jugalah akan mengajar kita erti keredhaan. Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat telah mentakrifkan redha ialah perasaan senang hati dengan kepahitan qadha atau takdir. Manakala di dalam kitab ar-Risalah al-Qusyairiyyah menukilkan kata-kata Imam al-Muhasabi dengan mentakrifkan redha ialah hati tenang di bawah ketentuan hukum.

Rasulullah S.A.W. telah menerangkan bahawa orang yang redha dengan ketentuan Allah Taala merupakan manusia yang paling kaya kerana dia adalah orang yang paling gembira dan tenang, paling jauh daripada dukacita, sedih, marah serta kesempitan jiwa. Kaya bukanlah dengan banyaknya harta benda dan wang ringgit, tetapi kaya itu adalah kayanya hati dengan iman dan redha.

















Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Bertakwalah kamu terhadap perkara-perkara haram nescaya kamu menjadi manusia paling beribadah. Redhalah dengan apa yang ditentukan Allah kepadamu nescaya kamu menjadi manusia paling kaya."
(Riwayat Tarmizi).

Redha juga merupakan sebab yang kuat untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Manakala kemurkaan pula merupakan sebab kesengsaraan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Di antara kebahagiaan anak Adam ialah dia redha dengan takdir Allah kepadanya dan di antara kesengsaraan anak Adam ialah dia meninggalkan pilihan Allah Taala dan di antara kesengsaraan anak Adam juga ialah kemarahannya terhadap apa yang ditentukan Allah Taala kepadanya."
(Riwayat Tarmizi).

Yakinlah bahawa Allah Taala tidak redha kepada hambaNya kecuali setelah hamba itu redha kepadaNya di dalam semua hukum dan perbuatanNya. Di sebabkan itulah kita perlu redha di atas dugaan kegagalan yang menimpa diri kita ini.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah."
(Surah al-Bayyinah: Ayat 8).

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan 3 (Sabar Di Atas Segala Dugaan)

Dengan dugaan kegagalan, kita belajar erti kesabaran. Ada ulama mentakrifkan sabar ialah menjauhkan diri daripada mengingkari, tenang ketika menelan kepahitan bala serta menampakkan ketidakperluan kepada makhluk ketika ditimpa kefakiran di dalam menempuh ranjau kehidupan. Malah Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat mentakrifkan sabar ialah tidak mengadu tentang penderitaan bala kepada selain Allah Taala.

Kesabaran di atas musibah dan kegagalan yang menimpa ialah dengan menyakini bahawa kehidupan di dunia ini adalah medan ujian dan cubaan. Allah Taala akan menguji iman hambaNya dengan pelbagai jenis musibah dan dugaan. Dia juga menduga hamba-hambaNya yang beriman dengan pelbagai cabaran agar Dia membezakan di antara orang yang jahat dengan yang baik dan yang beriman dengan yang munafiq.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Alif Lam Mim. Apakah patut manusia menyangka bahawa mereka (hanya) dibiarkan (sahaja) berkata: Kami telah beriman sedangkan mareka belum diuji."
(Surah al-Ankabut: Ayat 1-2).



Musibah dan dugaan ini pasti akan datang samada terhadap harta benda ataupun diri sendiri. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala bermaksud:

"Demi sesungguhnya, kamu pasti akan diuji pada harta benda dan diri kamu."
(Surah ali-Imran: Ayat 186).

Firman Allah Taala lagi bermaksud:

"Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya."
(Surah al-Baqarah: Ayat 155-157).

Tidak syak lagi bahawa orang mukmin yang sejati akan menanggung musibah ini dengan sabar dan penuh pasrah, bahkan dengan redha dan gembira. Kerana dia pasti musibah ini tidak diturunkan oleh Allah Taala kecuali untuk menghapuskan dosa-dosa serta menghilangkan kejahatan di dalam dirinya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Tidak ditimpa seseorang muslim itu daripada kepenatan, kesakitan, dukacita, kebimbangan, penderitaan, kesedihan dan tusukan duri sekalipun melainkan dengan perkra tersebut Allah Taala menjadikannya sebagai kifarat terhadap kesalahan-kesalahannya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain itu, musibah dan dugaan itu juga adalah untuk mengangkat darjat orang-orang beriman kepada satu darjat dan kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah Taala. Jika mereka menerimanya dengan penuh kesabaran dan keredhaan maka Allah Taala akan mengangkat lagi darjat mereka itu.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Apabila Allah telah mendahulukan kedudukan seseorang hamba kepada satu kedudukan yang tidak mampu dicapai dengan ilmunya maka Allah mengujinya pada tubuh badan, keluarga serta harta bendanya, kemudia Allah menjadikannya sabar terhadap ujian yang menimpa sehinggalah dia mencapai kedudukan yang telah disediakan oleh Allah Taala."
(Riwayat Abu Daud).

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan 2 (Dugaan Kegagalan Setelah Berusaha)

Di dalam menjalani liku-liku kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan daripada Allah Taala. Ujian yang datang tidak kira masa dan siapa sudah tentulah tersembunyi segala hikmah dan akan menjadikan diri kita lebih kuat.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
(Surah al-Anbiya: Ayat 35).

Setelah kita penat berusaha bersungguh-sungguh untuk memilih kebaikkan dan kejayaan, sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya, kita disarankan untuk berdoa memohon diperkenan daripadaNya. Ini kerana Allah Taala sentiasa mendengar segala permohonan dan rintihan hamba-hambaNya.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
(Surah al-Baqarah: Ayat 186).

Walaubagaimanapun, kadang-kala apa yang kita doa dan pohon tidak semestinya diperolehi dan dimakbulkan pada ketika itu.

Jika berlaku perkara ini, kita perlulah berbaik kepada konsep mengimani Qadha dan Qadar iaitu:

- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini samada ia sesuatu kebaikkan ataupun keburukkan.

- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini walaupun kita diberikan pilihan untuk berusaha bersungguh-sungguh.

- Menyedarkan bahawa hakikat manusia itu lemah dan perlu kepada Allah Taala.

- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.

Selain itu, dugaan juga datang bersama tujuan dan hikmah yang tersembunyi. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara itu berlaku. Hikmah itu pula kadang-kala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
(Surah al-Mulk: Ayat 2).

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan 1 (Berusaha untuk memilih kejayaan)

Imam Abu Hassan al-Asyaari memperkenalkan teori al-Kasbu (usaha) di dalam membincangkan kudrat Allah Taala dan perbuatan manusia, iaitu pandangannya adalah pertengahan di antara golongan Jabariyyah dengan Muktazillah. Golongan Muktazillah berpandangan bahawa manusia yang menciptakan perbuatannya sendiri. Golongan Jabariyyah pula berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatan apatah lagi berusaha untuk melakukan sesuatu. Manakala Imam Abu Hassan al-Asyaari berpandangan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa untuk mencipta perbuatannya akan tetapi berkuasa untuk berusaha.

Beliau menafsirkan al-Kasbu dengan maksud ia adalah kuasa hamba untuk melakukan perbuatan yang mana perbuatan tersebut diciptakan oleh Allah Taala. Bagi hamba (manusia), al-Kasbu tidak memberikan kesan yang nyata di dalam perbuatannya. Ini bermakna segala perbuatan yang diusahakan adalah sesuatu yang dikuasai oleh kuasa bersifat baharu yang diciptakan oleh Allah Taala kepada manusia.


Firman Allah Taala bermaksud:

"Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuatkan itu."
(Surah al-Soffat: Ayat 96).

Daripada teori al-Kasbu ini, dapatlah kita fahami bahawa setiap manusia diberikan pilihan samada untuk memilih kebaikkan ataupun memilih keburukkan. Jika kita memilih dan berusaha ke arah kebaikkan maka kebaikkan yang kita perolehi. Namun jika kita memilih dan berusaha ke arah keburukkan maka keburukkan yang kita perolehi. Ini bertepatan dengan peribahasa Melayu: Jika tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah ar-Rad: Ayat 11).