Sunday, February 21

suasana waktu petang di tasik utm...


Sungguh indah pemandangan yang dicipta olehNya..cantik juga bangunan yang dibina oleh khalifahNya yang dimana akal setiap khalifah diatas muka bumi ini juga milik dan hak Allah S.W.T...













Sunday, February 14

valentine...???

TANGGAL 14 Februari, tibalah hari yang dikomersialkan sebagai Valentine’s Day atau Hari Kekasih. Hari yang ditunggu-tunggu oleh sesetengah pasangan kekasih bukan Islam untuk bertemu, meluahkan perasaan cinta masing-masing serta bertukar-tukar hadiah.

Malangnya dewasa ini semakin ramai pula umat Islam terutamanya golongan remaja yang terpengaruh dengan acara sambutannya dan turut merayakannya. Malah ada yang bertindak di luar batasan sehingga timbul gejala sosial lain seperti perzinaan, rogol, minum arak, menghidu ganja, dadah dan sebagainya. Akibatnya sangat buruk bukan sahaja kepada remaja itu sendiri, tetapi juga kepada keluarga, generasi akan datang serta pada agama dan negara.

Usaha pelbagai pihak yang tampil untuk memperjelas berkenaan larangan menyambut Hari Valentines patut dipuji. Hal ini membantu mengelakkan umat Islam daripada terjebak dengan program sambutan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Namun ironinya pada masa yang sama kedapatan juga pihak mempromosikan sambutan hari ini yang mana kumpulan sasarannya adalah golongan belia Islam itu sendiri. Ibarat satu pihak berusaha membina sebuah kota tetapi satu pihak berusaha merobohkan kota yang terbina.

Dalam situasi sosial yang meruncing ini, strategi terbaik buat remaja Islam hari ini adalah dengan membina kekuatan dalaman yang berlandaskan faktor keilmuan dan keimanan. Berkenaan faktor keilmuan, penjelasan berkenaan larangan menyambut Hari Kekasih perlu disebarkan agar remaja memahaminya. Faktor keimanan pula berperanan menentukan pertimbangan remaja sama ada mahu menerima penjelasan tersebut atau tidak. Bagi yang berfikir dan melihat dengan mata hati, mereka akan menerima serta mengelakkan diri daripada menyambut Hari Kekasih.

Namun ada yang berdegil menyambut Hari Kekasih walaupun setelah mengetahui penjelasan berkenaan isu tersebut, maka ditakuti bahawa pertimbangan remaja tersebut didorong oleh perasaan nafsu diri. Malah ada yang meluahkan hujah yang pelbagai demi menjustifikasikan sambutan tersebut atau dalam erti kata lain menghalalkan perkara yang diharamkan dalam Islam.

Ada yang menyatakan bahawa mereka bukannya menyambut Hari Kekasih secara berlebih-lebihan, hanya sekadar kiriman satu khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sekuntum bunga. Besar atau kecil sambutan yang dilakukan bukanlah persoalannya, tetapi pokok pangkalnya niat beserta tindakan walau sekecil mana pun demi menyambutnya adalah perlu untuk dielakkan.

Ada pula yang mempersoal tidaklah salah menjadikan satu hari khas untuk berkasih-sayang seperti 14 Februari ini. Malah ditambah dengan hujah mereka bahawa bukannya mereka bermaksud mengingati peristiwa sejarah berkenaan tarikh tersebut. Ada pula yang menyatakan bahawa mereka sekadar suka-suka menyambutnya di samping mengeratkan tali persahabatan.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut dengan budaya ini. Pertama, kalangan remaja Muslim tidak tahu latar belakang sejarah Valentine’s Day, sehingga mereka tidak merasa bersalah untuk mengikutinya. Dalam erti kata lain, terdapat remaja Muslim yang memiliki kesedaran mengenai sejarah yang rendah. Sejarah Valentine’s Day dikatakan berasal dari kisah seorang paderi Kristian yang dihukum bunuh kerana mempertahan tindakannya mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Apabila hal ini berlaku di celah-celah ceteknya pengetahuan tentang sejarah serta kerapuhan benteng iman, remaja Muslim tidak mampu untuk menolak budaya ini, lalu menganggap bahawa ini adalah sebahagian daripada perayaan global dan tidak berkaitan dengan agama. Hilangnya jati diri di kalangan remaja Muslim memburukkan lagi situasi ini, lalu remaja Muslim bagai terikut-ikut dengan budaya kuning ini terutama bagi mereka yang sedang dilamun cinta.

Banyak lagi punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut budaya ini , tetapi apa yang penting di sini adalah peranan yang harus dimainkan oleh banyak pihak dalam menyedarkan remaja akan hal ini.

Cinta yang hakiki

Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, adil dan tidak mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya, tetapi perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak.

Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, Rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya. Cinta hakiki yang berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan penciptaan. Cinta hakiki akan melahirkan jiwa rela berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu. Cinta Ilahi akan memandu manusia supaya hidup lebih bererti.

Hal ini jelas sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui. (Surah Ali Imran: 31)”.

Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, tetapi kasih hamba kepada pencipta-Nya dengan iman dan takwa, manakala kasih Pencipta kepada hamba-Nya berkekalan tiada penghujungnya. Namun Islam juga menganjurkan umatnya supaya berkasih sayang antara sesama manusia seperti menyayangi dan menghormati ibu bapa, keluarga, masyarakat, sahabat handai, rakan taulan dan seumpamanya walaupun di sana wujud pelbagai perbezaan bahasa, budaya, agama, bangsa, keturunan, warna kulit, negara dan sebagainya.

Kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam tidak seharusnya disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk memenuhi tuntutan peribadi dan ia perlu diaplikasikan dalam suasana yang tidak bertentangan dengan Syariat Islam serta boleh diterima pakai oleh masyarakat umum.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat : 13) ”.

Islam memandang cinta kasih itu sebagai rahmat daripada Allah. Maka, seorang mukmin tidak dianggap beriman sebelum dia berhasil mencintai saudaranya seumpama dia mencinta dirinya sendiri (Hadis Riwayat Muslim). Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh ; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, di mata Islam mencintai dan dicintai itu adalah suatu yang suci yang harus disuburkan dalam dada setiap umatnya tidak kira masa, keadaan dan tempat. Oleh sebab itu, Islam menghalalkan perkahwinan sebagai saluran yang betul untuk meluahkan perasaan cinta dan keinginan berkasih sayang. Pun begitu, sebagai remaja, janganlah kita lupa bahawa kasih sayang kepada ibu bapa, keluarga, agama, bangsa dan negara juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

Peranan banyak pihak

Ibu bapa adalah pihak terdekat dengan anak-anak dalam mendidik mereka agar tidak menyambut Hari Kekasih. Hal ini merangkumi perbincangan ilmiah dengan anak-anak agar mereka faham berkenaan maksud larangan meraikannya. Bagi ibu bapa yang kurang arif untuk menjelaskannya kepada anak-anak secara berkesan, mereka boleh memberikan artikel-artikel yang berkaitan untuk dibaca.

Kesan globalisasi pada hari ini juga ternyata menuntut pihak ibu bapa agar lebih berketrampilan dari segi intelektual demi menangkis serangan pemikiran (ghazwatul fikr) Barat daripada menguasai minda anak-anak. Ibu bapa harus menyuburkan perasaan kasih sayang yang berlandaskan keimanan dan tidak hanya menjurus kepada memenuhi keperluan diri dan nafsu.

Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan bergaul secara berhikmah, bijaksana serta berlemah lembut dengan ahli keluarga. Aktiviti-aktiviti boleh dilakukan secara berjemaah, serta pemberian hadiah tidak semestinya pada hari-hari tertentu, tetapi juga pada hari-hari biasa. Dengan ini, anak-anak memahami bahawa kasih sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian semata-mata, tetapi lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat bersama-sama menuju ke jalan yang diredhai.

Peranan media dan masyarakat juga amat penting dalam membantu remaja untuk memahami mengapa mereka tidak harus terikut-ikut dengan budaya ini. Media berperanan mendidik masyarakat melalui tulisan, rancangan serta program-program supaya manusia memahami bahawa cinta bukanlah berlandaskan kepada nafsu semata-mata. Masyarakat juga harus berperanan sebagai agen pendidik iaitu tidak menyertai ‘perayaan’ ini dan para peniaga tidak pula mengambil kesempatan di atas sambutan ini dengan mengadakan sambutan besar-besaran di kompleks beli-belah, kedai-kedai cenderamata dan sebagainya. Justeru, banyak pihak boleh membantu dalam mendidik remaja supaya tidak mengikut budaya asing ini tanpa memahami akan natijahnya.

Kesimpulan

Kasih sayang dalam Islam bersifat universal. Ia tidak dibatasi ruang dan waktu, juga tidak dibatasi objek dan motif. Kasih sayang diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturrahim, menjenguk yang sakit, meringankan beban jiran tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang bertelagah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah perbuatan munkar. Dalam pada itu, Islam tidak melarang kita saling mengenali adat resam serta budaya umat lain selagi tidak melewati batasan yang ditetapkan syariat Islam. Bagi perkara yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, maka kita perlu menjauhinya sebagaimana firman Allah dalam surah (Al-Kaafiruun, ayat 1- 6) yang bermaksud:

“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku"”.

Sudah saatnya remaja Islam sedar dari kejahilan dan bangkit ke arah masa depan yang lebih baik. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi? Tepuk dada, tanyalah iman kita bersama……


http://usrahpmiutm.blogspot.com/2010/02/valentine-day-satu-kemusnahan-kepada.html