Saturday, January 1

Kegagalan Mengajar Erti Kehidupan 4 ( Redha Dengan Segala Ketentuan-Nya)

Dengan kegagalan jugalah akan mengajar kita erti keredhaan. Syeikh Sayyid al-Jurjani di dalam kitabnya Tarifat telah mentakrifkan redha ialah perasaan senang hati dengan kepahitan qadha atau takdir. Manakala di dalam kitab ar-Risalah al-Qusyairiyyah menukilkan kata-kata Imam al-Muhasabi dengan mentakrifkan redha ialah hati tenang di bawah ketentuan hukum.

Rasulullah S.A.W. telah menerangkan bahawa orang yang redha dengan ketentuan Allah Taala merupakan manusia yang paling kaya kerana dia adalah orang yang paling gembira dan tenang, paling jauh daripada dukacita, sedih, marah serta kesempitan jiwa. Kaya bukanlah dengan banyaknya harta benda dan wang ringgit, tetapi kaya itu adalah kayanya hati dengan iman dan redha.

















Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Bertakwalah kamu terhadap perkara-perkara haram nescaya kamu menjadi manusia paling beribadah. Redhalah dengan apa yang ditentukan Allah kepadamu nescaya kamu menjadi manusia paling kaya."
(Riwayat Tarmizi).

Redha juga merupakan sebab yang kuat untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Manakala kemurkaan pula merupakan sebab kesengsaraan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Di antara kebahagiaan anak Adam ialah dia redha dengan takdir Allah kepadanya dan di antara kesengsaraan anak Adam ialah dia meninggalkan pilihan Allah Taala dan di antara kesengsaraan anak Adam juga ialah kemarahannya terhadap apa yang ditentukan Allah Taala kepadanya."
(Riwayat Tarmizi).

Yakinlah bahawa Allah Taala tidak redha kepada hambaNya kecuali setelah hamba itu redha kepadaNya di dalam semua hukum dan perbuatanNya. Di sebabkan itulah kita perlu redha di atas dugaan kegagalan yang menimpa diri kita ini.

Firman Allah Taala bermaksud:

"Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah."
(Surah al-Bayyinah: Ayat 8).

No comments:

Post a Comment