Daisypath -

Wednesday, December 29

Buat Isteri Seorang Pejuang | iluvislam.com

Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu

Isteriku...
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya

Isteriku...
Saban waktu, dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku

Isteriku...
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga

Isteriku...
Di senjakala, ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja

Isteriku...
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari-hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu, sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku, dirimulah penanti setia
Sementara bagiku, ia hanyalah dangau persinggahan

Isteriku...
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu

Isteriku...
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah

Isteriku...
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu

Isteriku...
Diriku tetap setia disampingmu
Sungguhpun kita jarang bertemu

Sayang isteriku... sayang isteriku


Biodata Kolumnis
Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang. Blog episodeperjuangan.blogspot.com menjadi medium untuk beliau menulis di alam maya.

No comments:

Post a Comment